Tentang Projek Lavender

Majalah Travel 3Sixty edisi Januari 2018 menyiarkan artikel “The Good Fight” yang berkongsi cerita lima orang AirAsia Allstars yang berdepan cabaran sebagai pesakit kanser.

Kisah mereka menjadi inspirasi kepada pejuang kanser. Malahan, Allahyarham Anaz Ahmad Tajudin iaitu Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Air Asia juga berjuang melawan kanser. Beliau berkata, “I never allow myself to mull over the tought, even for a day, that I would lose the battle.”

Sebelum ini, kanser menyerang kenalan, ahli keluarga kenalan dan saudara mara. Pengetahuan saya tentang kanser juga tidak banyak. Selepas ibu disahkan menghidap kanser di akhir usia,  barulah saya dapat menyelami perasaan ahli keluarga pesakit. Sudah tentu pengalaman kami berbeza. Sukar untuk mengatakan yang saya benar-benar memahami situasi yang mereka lalui. Apatah lagi cabaran dan keperitan yang dialami oleh pesakit.

“Kanser?”
“Betul ke doktor? Betul ke saya ada kanser?”

Tergamam. Tak pasti apa yang hendak dikatakan.

Fikiran kosong. Rasa tidak percaya, sedih dan kecewa bercampur aduk dengan rasa mengharap dan ada kalanya menafikan hakikat penyakit kanser yang menyerang insan tersayang. Sedangkan penyakit ini antara penyebab kematian utama di seluruh dunia. Jumlah kes kanser semakin meningkat dan tidak mengenal usia.

“Bang, anak kita kena kanser!”

Tangisan pecah. Tidak tahu apa yang perlu dilakukan.
Tidak percaya dengan berita yang disampaikan.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Bukan calang-calang dugaan yang menimpa. Kata orang, kanser membunuh. Kata orang, tidak ada harapan lagi apabila disahkan menghidap kanser.

Benarkah?

Tuhan tidak akan memberi dugaan yang hamba-Nya tidak mampu tangani. Ya, lebih mudah berkata-kata namun hakikatnya mereka yang mengalami sahaja yang tahu.

Kanser bukan hanya mengubah kehidupan pesakit. Ia juga mengubah persepsi ahli keluarga pesakit. Perubahan harus dilakukan bagi memberi sokongan kepada pesakit. Namun, pengajaran yang paling besar adalah nilai sebuah kehidupan. Satu perjuangan yang mesti diteruskan sehingga akhir hayat.

Berjuang hidup dengan kanser. Berjuang untuk hidup satu hari lagi. Berjuang untuk terus hidup. Setiap jiwa yang terkesan akibat kanser menjadi sumber inspirasi kepada orang lain. Mungkin insan ini adalah ibu, bapa, anak atau sahabat yang mempunyai kehidupan biasa pada pandangan orang lain. Bekerja, berniaga atau pesara seperti orang lain.

Walaupun begitu, mereka adalah individu yang hebat dan istimewa dalam lingkungan mereka. Ini permata yang kami temui dalam semua kisah kanser yang dikumpulkan dan dibukukan dalam Projek Lavender.

Mengapa Projek Lavender?

Lavender atau warna ungu cerah ialah warna reben kesedaran kanser secara umum. Buku ini menggabungkan kisah pesakit kanser yang pelbagai seperti kanser payudara, pankreas, hati, paru-paru, usus, limfoma dan leukemia.

Reben kesedaran lavender ini tidak begitu popular di Malaysia seperti reben merah jambu untuk kanser payudara. Setiap jenis kanser mempunyai warna reben yang khusus. Oleh itu, Projek Lavender dipilih sebagai tajuk buku ini yang merangkumi pelbagai jenis kanser.

22 kisah kanser dikongsikan oleh penulis. 16 kisah ditulis oleh doktor dan insan yang rapat dengan pesakit. Lima kisah diceritakan oleh pesakit kanser. Satu kisah unik tentang kanser yang menyerang haiwan kesayangan.

Penulis mencatatkan detik penting dalam kehidupan pesakit kanser. Masa bukan ukuran. Walaupun kanser sudah berlaku lebih 20 tahun lalu, penulis mengimbau kembali saat sukar itu seolah-olah ia baru terjadi. Malahan, pesakit kanser yang menulis kisah mereka dalam buku ini juga sangat tabah dan kuat untuk berkongsi cerita.

Salah seorang penulis yang menyumbangkan kisah dalam buku ini meninggal dunia lewat Disember 2017. Beliau adalah pejuang kanser yang melalui detik mencabar setelah didiagnos kanser pada tahun 2014.

Semangat juang penulis sangat hebat. Seperti Dr Paul Kalanithi, seorang pakar bedah neuro yang menulis When Breath Becomes Air. Beliau menulis, “Words have a longevity I do not.”

Kalanithi meninggal dunia sebelum buku diterbitkan. Editor dan isterinya merealisasikan impian beliau dan menjadikan karyanya dapat dibaca di seluruh dunia.

Projek ini adalah satu usaha kami berkongsi pengalaman yang penting dan memberi pendedahan tentang kanser. Sememangnya kanser wujud di sekeliling kita. Ini yang cuba disampaikan lewat buku ini.

Kami mendapatkan pandangan daripada Dr Ros Suzanna tentang isu penting berkaitan kanser. Soal jawab bersama beliau disertakan di bahagian akhir buku ini. Sebagai pakar onkologi, beliau mempunyai pengalaman yang luas merawat dan mengendalikan pelbagai kes berkaitan kanser.

Semoga pembaca mendapat nilai yang bermanfaat daripada buku ini. Tiga perkara yang kami ingin sampaikan. Harapan, inspirasi dan perjuangan.

Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *