Tarbiyah diri sebagai penjaga pesakit

Oleh: Rosli Diming

Pengalaman mengajar kita erti kehidupan.

Semasa saya bujang lagi saya berpengalaman menjaga ibu yang lumpuh akibat penyakit kencing manis sehinggalah ibu saya menghembuskan nafasnya yang terakhir. Pengalaman ini sangat manis jika dikenang. Ianya banyak mentarbiyah saya mendidik kesabaran dalam menempuh setiap ujian yang melanda. Dan apabila berkahwin, isteri saya pula yang diduga dengan ujian yang lebih hebat daripada Allah s.w.t. Namun saya tetap bersangka baik kepada Allah kerana segala takdir hidup kita semuanya sudah tertulis lebih awal.

Maka dengan itu, saya berkongsi pengalaman hidup saya di dalam Buku Projek Lavender kerana saya ingin memberi kesedaran kepada orang ramai tentang pentingnya sokongan dan penjagaan terhadap pasangan ataupun keluarga yang menghidap kanser.

Bukan mudah menerima kenyataan sebagai penghidap penyakit berbahaya ini. Namun sebagai hamba Allah yang percaya akan qada dan qadar haruslah menerima segala ketentuanNya dengan hati yang reda. Saya sangat mengagumi kecekalan dan kekuatan yang ada pada isteri saya yang kekal positif atas segala yang menimpanya.

Jika diingat kembali, banyak rawatan alternatif yang pernah kami cuba untuk membantu isteri. Termasuklah makanan tambahan yang dijual di pasaran atas saranan keluarga dan rakan-rakan. Ramai yang mencadangkan supaya isteri saya mengambil supplement daun rerama, belalai gajah, durian belanda dan sebagainya.

Mungkin mereka salah faham tentang perkara ini. Sedangkan ianya hanya untuk mencegah daripada diserang kanser. Bukan untuk merawat. Apabila kanser sudah ada di dalam badan,ianya tidak bagus untuk diambil kerana akan menyebabkan sel kanser di dalam badan lebih agresif untuk membesar dengan lebih cepat.

Tiada niat saya untuk memperlekehkan sebarang produk. Namun jika kita rujuk kepada pakar mereka akan mengatakan benda yang sama. Doktor tidak menyarankan pesakit kanser daripada mengambil sebarang supplement kerana dikhuatiri rawatan seperti kimoterapi dan sebagainya tidak berkesan kepada pesakit.

Saya dan isteri juga pernah mengalami situasi ini apabila seseorang telah mencadangkan kepada kami supaya mengambil produk yang beliau jual. Atas sebab tidak ingin mengecewakan beliau kami pun mencuba produk tersebut. Akibatnya sel kanser di dalam tubuh isteri saya semakin membesar. Ia dikesan daripada imbasan CT.

Jadi saya berharap agar semua pembaca dapat menjadikan kisah saya dan isteri saya ini sebagai inspirasi supaya orang ramai lebih peka dan prihatin terhadap pesakit kanser. Jika kita ingin membantu, bantulah dengan menggunakan ilmu. Bukan daripada ‘orang kata’.

Semoga bermanfaat buat semua pembaca.

Admin: Saudari Rabia’atuladawiyah Binti Esmail, isteri kepada penulis kembali ke Rahmatullah pada 27 Mei 2018. Takziah buat Tuan Rosli sekeluarga. Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan tenang di alam sana. Alfatihah

Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *