Ujian Tanda Kasih Sayang Allah

Oleh: Dr Sakinah Salleh

Kanser salah satu penyakit yang hakikatnya adalah ujian Allah. Allah menguji setiap individu mengikut kemampuan mereka. Justeru apabila individu bersyukur dengan ujian Allah maka mereka akan dapat menempuh ujian ini dengan lebih tenang.  Sebagai insan biasa pasti akan tertanya mengapa ujian berat ini ditimpakan. Insan akan menemukan jawapan bila mereka sedar akan rahmat dari ujian tersebut. Si pesakit berpeluang memohon maaf atas segala dosa baik dengan Pencipta mahupun dengan individu lain, baik secara langsung atau tidak langsung. Bandingkan ini dengan ramai yang mati mengejut.

Bila hadirnya penyakit, ia tanda bahawa Dia masih menjaga dan memelihara kita daripada leka dengan arus dunia. Kesibukan manusia mengejar dunia, yang sementara kadang kala menyebabkan kita lupa akhirat yang kekal. Hubungan kita dengan Allah menjadi semakin renggang. Justeru penyakit merupakan satu anugerah Allah dan bukan penderitaan atau hukuman, kerana di sebaliknya terdapat banyak hikmah yang perlu dilihat dengan mata hati.

Mempercayai kepada konsep qada dan qadar, akan membawa kita pasrah dan reda bahawa setiap satu perkara pasti ada banyak himah tersendiri. Apabila kita diuji, banyak iktibar yang boleh diambil daripada penyakit ini, antaranya ialah kita jangan terlalu yakin dan takabur dengan kesihatan kita sendiri. Ramai yang merasakan sihat dan sangat menjaga diri dengan mengamalkan suplemen daripada awal dapat mengelakkan penyakit, mengambil pemakanan sihat namun masih juga Allah berikan ujian.

Hikmahnya ia peringatan buat kita bahawa bahawa penyakit itu daripada Allah. Insan yang diuji akan muhasabah diri. Ramai orang yang mendapat sesuatu penyakit akan banyak masa untuk merapatkan kembali hubungan dengan Allah. Kenali semula diri dan mengenal Allah dan muhasabah diri.

Hikmah daripada penyakit juga boleh memberi individu peluang untuk banyak berkongsi pengalaman dengan kawan-kawan supaya mereka lebih berhati-hati dalam pengambilan pemakanan dan tahu cara mengawal stres. Bagi orang yang sihat, sekiranya kita diuji Allah dengan penyakit, maka carilah Allah untuk kita minta pertolongan. Kerana penyakit itu daripada Allah.

Mohonlah pertolongan Allah melalui doa kerana mati disebabkan ajal dan bukan penyakit itu. Berjumpalah dengan orang yang pakar tentang sesuatu penyakit itu sebelum kita membuat sebarang keputusan dan tindakan. Banyakkan sabar ketika menghadapi penyakit kerana tiada penyakit yang baik dalam sekelip mata. Jangan menyesal dan menyalahkan diri atau orang lain tentang penyakit yang dihidapi, sebaliknya carilah hikmah di sebaliknya. Yakinlah dengan kuasa Allah bahawa setiap penyakit ada ubatnya. Teruskan berusaha mencari penawarnya.

 

Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *