Kongsi derita lawan sakit [HMetro]

Oleh: Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: “Buku ini peninggalan arwah isteri. Ia sangat bermakna kerana di saat bertarung nyawa, dia sempat menulis pengalamannya melawan kanser tanpa pengetahuan saya.

“Jika arwah masih hidup, mungkin dia orang paling gembira kerana hasratnya mahu berkongsi pengalamannya dengan umum terutama pesakit kanser sudah tercapai,” kata Zulkefli Sanip, 37, suami kepada Nur Eliyana Mohd Redhuan, pesakit kanser payu dara tahap empat yang meninggal dunia Disember tahun lalu.

Nur Eliyana adalah salah seorang daripada penulis buku berjudul Projek Lavender yang bakal dilancarkan Ahad ini sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2018 (PBAKL 2018).

Penulisan buku bermula Oktober tahun lalu itu menghimpunkan 22 kisah sebenar pejuang kanser termasuk haiwan yang ditulis pakar onkologi, penghidap kanser dan individu yang pernah menempuh saat suka-duka bersama pesakit.

Zulkefli berkata, ketika hayatnya, Nur Eliyana adalah seorang pejuang kanser yang sangat positif melawan penyakitnya selepas di diagnos pada 2014.

“Arwah gemar beri semangat kepada orang lain dengan berkongsi pengalamannya kepada pesakit kanser supaya lebih berani berjuang melawan penyakit ini.

“Sebagai suami, saya bangga biarpun isteri sudah tiada, ada kenangannya boleh dikongsikan dalam buku ini. Semoga semangatnya dapat ‘dipinjamkan’ kepada pesakit lain di luar sana,” katanya.

Penerbit Projek Lavender, Norsa’adah Ahmad pula berkata, menyedari kekurangan bahan bacaan berkenaan penyakit kritikal itu dalam bahasa Melayu, dia bersama sahabat baiknya Dr Noor Hayati Yasmin Nga Timin mengambil inisiatif dengan menghimpunkan pengalaman sebenar penulis.

“Saya sendiri menulis dalam buku ini kerana ibu meninggal dunia akibat leukimia yang lewat kami sedari. Kami dapat tahu penyakit ini dalam tempoh singkat dan ia merebak dengan sangat pantas dan selepas dua bulan ibu meninggal dunia.

“Menurut doktor, kemungkinan besar kanser itu sudah ada lama cuma kami tak sedar perubahan fizikal pada ibu termasuk kerap demam, wajah pucat dan kurus. Rupanya dia sedang bertarung dengan penyakit itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 April 2018 @ 4:27 AM

Pautan asal: Hmetro Online

Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *