Cabaran sebagai penjaga pesakit

Oleh: Fazlyn Yusniza Yusof

Kanser sememangnya digeruni. Dahulu, kisah kanser hanya didengari daripada penceritaan mereka yang berada disekeliling saya. Namun, apabila ia menyapa kehidupan kakak ipar, kami panik. Masa seolah-olah terhenti. Dunia dirasakan telah tiba ke penghujungnya. Bukan sahaja kehidupan pesakit malah kehidupan ahli keluarga juga turut berubah.

Berhadapan dengan pesakit kanser bukan mudah. Cabaran terbesarnya adalah kerana tidak mempunyai ilmu tentang penyakit itu. Namun seluruh ahli keluarga cuba sebaik mungkin untuk melakukan terbaik untuk beliau.

Kami berusaha untuk mengumpul kekuatan kerana kami perlu  menjadi kuat di hadapannya. Simpan kesedihan, sembunyikan kerisauan. Ukirkan  senyuman apabila berhadapan dengan pesakit kanser. Elakkan berkata sesuatu yang boleh menyebabkan mereka terasa seolah-olah bebanan kepada keluarga.

Kata-kata positif dari ahli keluarga amat penting bagi mengurangkan kesedihan dan tekanan yang dialami pesakit. Selain itu, beri sokongan kepada mereka dengan cara sentiasa berada di sisi khususnya semasa kesakitan menyerang. Sokongan yang ditunjukkan oleh ahli keluarga atas usaha pesakit dalam mendapatkan rawatan juga dapat memberi rasa lega kepada pesakit. Sekurang-kurangnya pesakit tahu bahawa mereka tidak bersendirian dalam menghadapi ujian berat ini.

Seandainya pesakit meluahkan apa yang terbuku dihati, pinjamkan telinga. Dengarlah dengan teliti dan fokus kepadanya. Ada masanya pesakit hanya mahu kita mendengar. Walau sekadar anggukan kecil, ia amat berharga bagi pesakit. Mereka hanya mahukan kita faham perasan mereka.

Elakkan bercerita kepada mereka tentang pesakit kanser yang tewas kerana itu akan hanya menambah kerisauan dan memudarkan semangat pesakit. Jangan samakan mereka dengan pesakit kanser yang lain. Sebaiknya, pujuk mereka untuk bersabar dan yakinkan mereka bahawa setiap penyakit ada ubatnya.

Selain itu, elakkan juga daripada membuat penilaian sendiri dan menjatuhkan hukuman terhadap pesakit. Jangan kaitkan penyakit mereka dengan dosa lalu. Adalah lebih baik diam daripada berkata-kata yang akan hanya menambah kesedihan dan kerisauan di hati mereka.

Jika mereka tidak lagi berupaya mengurus diri apatah lagi bekerja, bantu mereka dari segi pengurusan rumahtangga khususnya bagi pesakit yang mempunyai anak-anak yang masih kecil. Boleh juga hulurkan bantuan kewangan bagi meringankan beban.

Sebagai seorang muslim bimbinglah mereka untuk mendekatkan diri kepada Allah. Bantu mereka untuk solat dan pimpin mereka berzikir. Lebih bermakna jika zikir itu dapat dilakukan bersama-sama ahli keluarga.

Fazlyn Yusniza Yusof mempunyai kelulusan Ijazah dalam bidang TESL di UiTM, Shah Alam dan bertugas sebagai seorang pendidik di Kolej Vokasional Kuala Kangsar. Beliau salah seorang penulis Projek Lavender.

Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *