Osteosarkoma – Kanser tulang dalam kalangan remaja

Oleh: Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan

“Doktor, tak sabar saya nak tunggu birthday saya esok! Esok saya dah bebas buat keputusan sendiri.”

Esok ulang tahun kelahiran pesakit ini yang ke-18. Bermakna esok, berdasarkan undang-undang, dia sudah boleh buat keputusan untuk diri sendiri. Dah lama dia tunggu saat itu.

Namun, tak seperti ramai remaja di luar sana tak sabar nak menjejaki usia 18 tahun agar boleh hisap rokok atau masuk kelab malam secara sah di sisi undang-undang, pesakit ini menunggu detik itu agar boleh pilih rawatan yang dia rasa terbaik untuknya.

Dia telah didiagnos dengan osteosarkoma, sejenis kanser tulang yang menurut statistik lazim berlaku pada remaja sekitar belasan tahun. Dia telah didiagnos dengan kanser di lutut kanannya itu pada umurnya 3 bulan sebelumnya.

Ketika itu doktor ortopedik onkologi beri cadangan untuk buat kimoterapi dan disusuli dengan pembedahan membuang kanser di lutut kanannya itu. Namun, bapanya tak setuju. Malah bapanya menentang keras kedua-dua prosedur itu.

“Kenapa nak buat kimoterapi? Operate je lah. Kalau kimo pun kena operate juga kan? Anak aku bukan tikus makmal kau nak cuba-cuba racun kimo tu!” kata bapanya.

“Kalau macam tu, kita buat radioterapi,” cadang pakar onkologi.

Bapanya tak setuju juga. Paling hiba, kami para doktor di tuduh bersubahat dengan agenda musuh Islam, dan bersekongkol dengan syarikat farmaseutikal untuk buat duit. Apa yang tidak Islamnya rawatan yang dicadangkan itu?

Osteosarcoma itu adalah sejenis kanser yang agresif. Ia merebak dan membesar dengan ganas. Kimoterapi itu untuk mengawal kanser itu, dan pembedahan itu untuk membuang kanser daripada tubuh.

“Saya nak bawa anak saya balik. Nak rawat cara Islam!”

Maka pulanglah remaja itu bersama ibubapanya. Tiada hak untuk kami halang dan memaksa. Kami hanya doakan yang terbaik sahaja untuk pesakit.

Hari ini pesakit dibawa ke hospital oleh sahabatnya. Keadaan dia dah tak berapa baik. Sudah lemah. Kakinya juga kelihatan sudah tak boleh diselamatkan. Pakar ortopedik onkologi merasakan pilihan terbaik adalah untuk lakukan amputasi kaki kanan di paras peha. Masalahnya, pesakit masih di bawah umur dan datang tanpa ibubapanya, maka kebenaran tak boleh diperolehi.

“Esok saya dah 18 tahun!” ujar pesakit.

Rupa-rupanya, sejak didiagnos, pesakit sebenarnya setuju untuk terima rawatan seperti yang dicadangkan oleh doktor. Namun, dia tak berkata apa-apa kerana tahu bapanya seorang yang sangat autoritif. Bapanya tak akan dengar sebarang pandangan daripada orang lain.

Jadi hari ini, dia telah meminta bantuan kawan-kawannya untuk curi-curi bawa dia ke hospital. Maka esok, setelah umurnya 18, dia boleh pilih rawatan untuk dirinya sendiri. Ia sesuatu yang rumit bagi kami dan pihak hospital. Ini bermakna pesakit ini telah keluar rumah tanpa kebenaran dan pengetahuan ibubapanya.

Kami doktor ada rancangan kami, bapanya ada rancangannya, pesakit juga ada rancangannya sendiri, namun tidak satu pun rancangan ini sehebat rancangan Tuhan.

Malam itu, pesakit telah melelapkan matanya buat selamanya dalam tidur, ditemani ibubapanya. Pesakit itu meninggal pada hari kelahirannya yang ke-18.

Aku masih ingat malam itu. Aku masih ingat muka remaja itu. Aku masih ingat wajah ibu bapanya. Aku juga masih ingat salah satu soalan pesakit kepada aku pada hari kejadian. Tak mungkin aku akan lupa.

“Doktor rasa, saya ni anak derhaka ke sebab saya buat macam ni?”

Entahlah, sahabat. Enam tahun dah berlalu. Aku masih tak dapat jawab soalan itu. Siapalah aku untuk tentukan kau seorang anak derhaka atau tidak. Namun tahulah kau, rawatan yang kamu pilih itu bukan agenda musuh Islam.

Tak usahlah kita haramkan yang harus, atau mengharuskan yang haram mengikut fahaman dan prasangka kita sesuka hati.

Di Malaysia ramai pesakit datang berjumpa doktor setelah penyakit mereka melarat dan sudah parah. Antara sebabnya adalah, mencuba perubatan alternatif dahulu. Sepatutnya cuba rawatan berdasarkan bukti (evidence based) dahulu, jika rawatan tak berkesan, baru cuba alternatif.

Aku harap sebagaimana rakyat mampu merubah tampuk kepimpinan negara ini, sebegitulah mampu kerajaan baru ini dapat mengubah mentaliti rakyat.

Kesihatan adalah hak dan tanggungjawab kita.

Pautan artikel asal disiarkan di sini.

Dr. Kamarul Ariffin bertugas di Klinik Maimunah & Rakan-rakan, Johor Bahru. Pernah bertugas di Jabatan Rehabilitasi Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru. Beliau turut menulis beberapa buku bestseller seperti Ghospital dan Cakar Ayam Seorang Doktor.

Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *