Ali Banat: Kanser menjadi rahmat

Oleh: Noor Jahan Ebrahim

Surah al-Munafiqun Ayat 10:

“Dan belanjakanlah sebahagian dari apa yang telah kami berikan kepadamu sebelum datang kematian kepada salah seorang di antara kamu; lalu ia berkata: Ya Tuhanku,mengapa Engkau tidak menangguhkan (kematian) ku sampai waktu yang dekat, yang menyebabkan aku dapat bersedekah dan aku termasuk orang-orang yang soleh.”

Seorang jutawan muda dari Greenacre, Sydney iaitu Ali Banat menghayati ayat di atas sepenuhnya. Beliau bersedekah dan membelanjakan semua hartanya untuk kebajikan sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 29 Mei 2018. Beliau berusia 32 tahun.

Nama Ali Banat mula meledak di media sosial apabila video yang dibuatnya berjudul “Gifted with cancer (Anugerah kanser)” mula dikongsi ramai. Kata-kata beliau yang meruntun hati pada permulaan video itu, “As you all know, Alhamdulillah, I have passed away. (Sebagaimana yang anda sedia maklum, saya telah meninggal dunia)” menimbulkan tanda tanya pada mereka yang baru mengenali beliau melalui video ini.

Video ini dibuat untuk mereka yang mengikuti perkembangannya sejak dia mula menghidapi kanser dan membantunya dalam projek kemanusiaannya. Video ini hanya dikongsi selepas Ali Banat meninggal dunia. Beliau meninggal akibat Kanser Testikel Tahap Akhir (Adenoid Cystic Carcinoma).

Sebagai seorang jutawan muda, Ali hidup dengan begitu sempurna dengan kegemaran memiliki barangan dan kereta mewah. Segalanya berubah pada suatu pagi di bulan Julai 2015. Oleh kerana tergopoh semasa bersarapan beliau terminum air yang terlalu panas. Semasa melihat keadaan mulutnya yang melepuh beliau ternampak satu ketulan pada permukaan atas mulutnya. Doktor pakar kemudian memberi tahu yang sebenarnya itu adalah ketumbuhan.

Ketumbuhan berkenaan adalah jenis yang tumbuh secara perlahan dan rupa-rupanya sudah menular sejak empat tahun sebelum itu. Ketumbuhan yang begitu banyak di seluruh tubuh tidak dirasai kesakitannya sebelum itu. Doktor memberi anggaran 7 bulan sahaja untuk hidup. Sejak itu barulah dia sedar betapa sakitnya badan beliau.

Walaupun mulanya sedih, Ali terus mengumpul semangat untuk meneruskan kehidupan. Beliau menganggap kanser itu satu anugerah kerana dia dapat bersedia dengan kematian berbanding dengan mereka yang mati dalam keadaan terkejut.

Bumi Afrika yang sebelum ini begitu asing baginya diredah untuk melihat secara dekat erti kemiskinan. Ali sanggup turun padang selama berminggu-minggu untuk bersama dengan penduduk setempat bagi menjayakan projek kebajikannya. Buat pertama kali, Ali yang dulunya berulit dengan kekayaan dapat menghayati kesusahan penduduk seperti di Togo, Ghana dan Burkina Faso.

Media sosial banyak memainkan peranan dalam menyebarkan mesej kebajikan yang diperjuaangkan. Pada satu ketika akaun Facebook beliau dicurigai kerana dalam masa sehari mendapat 30,000 pengikut. Sambutan atas setiap projek yang beliau lancarkan juga amat menggalakkan atas sentuhan peribadi Ali Banat. Contohnya dalam satu acara makan malam yang dianjurkan,  beliau berjaya mengumpul dana sebanyak AUD 1.1 juta.

Pada bulan Oktober 2015, beliau telah melancarkan projek kebajikan Muslims Around The World (MATW) bagi membantu umat Islam yang kurang bernasib baik di merata dunia bermula dari Togo di Afrika. Beliau juga melancarkan Go Fund Me Charity Organisation bagi memberi peluang untuk orang ramai menderma untuk projek yang beliau jalankan. Beliau berharap prrojek ini akan diteruskan walaupun beliau tiada lagi.

Antara 2015 hingga saat beliau menghembuskan nafas yang terakhir baru-baru ini, Ali berjaya meninggalkan satu legasi kemanusiaan. Antara projek beliau adalah pembinaan masjid, pusat perubatan, sekolah dan  rumah untuk anggaran 400-600 anak yatim dan 200 buah rumah untuk ibu tunggal.

Semuanya tidak berakhir apabila seseorang itu mendapat kanser. Ali Banat adalah seorang wira yang sudah membuktikan kepada dunia bahawa masih banyak lagi perkara boleh dilakukan sekiranya kita mempunyai semangat untuk membantu. Harta bagi Ali tidak berguna lagi dan dia ingin pergi kepada Penciptanya tanpa beban harta ini.

Hari ini sedekah jariah yang dibuatnya akan berterusan dan Insha Allah akan diangkat darjatnya dan akhirnya di Jannah. Pesan Ali dalam video terakhirnya adalah setiap orang perlu mempunyai matlamat untuk membantu atau membuat sesuatu projek kebajikan. Itulah yang akan membantu kita di hari Pembalasan.

Mati dalam keadaan husnul khatimah atau akhir hidup yang baik telah ditunjukkan oleh Ali Banat apabila beliau meninggalkan kehidupan dunia yang penuh kemewahan untuk membantu ramai orang.

Sebuah hadits Anas bin Malik yang diriwayatkan Imam Ahmad yang menunjukkan tentang khusnul khotimah pada seorang hamba, bahwa Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda;

“Apabila Allah menghendaki kebaikan kepada seseorang, maka Allah akan membuatnya beramal.” Para sahabat bertanya; “Bagaimana membuatnya beramal?” beliau menjawab: “Allah akan memberikan taufiq padanya untuk melaksanakan amal solih sebelum dia meninggal.”

(HR. Ahmad dan Tirmidzi)

Mesej akhir Ali Banat kepada dunia:

Noor Jahan Ebrahim pernah bertugas di syarikat swasta dalam bidang sumber manusia. Beliau kini menjadi penulis upahan dan penterjemah. Noor Jahan atau nama pena Jahan N.E adalah salah seorang penulis buku Projek Lavender.

Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *