Kenangan bersama emak

Oleh: Zaila Hafni

Saya seboleh-bolehnya mahu menyimpan kemas memori tentang penyakit emak. Saya mahu kenang yang indah-indah sahaja, semasa emak sihat. Namun, apakan daya, bersama-sama emak mengharungi hari-harinya di hospital, rutin harian yang bertukar, tidak dapat tidak, memori tersebut takkan boleh dipadam daripada ingatan.

Memori itu saya abadikan dalam buku Projek Lavender setelah saya memutuskan untuk menulis kisah emak yang diuji kanser limfoma, sebagai kenangan untuk saya sendiri selain berkongsi untuk tatapan keluarga khususnya dan masyarakat amnya.

Emak adalah penghidap non-Hodgkin lymphoma, sejenis kanser salur limfa. Saya sendiri tak memahami apa sebenarnya penyakit emak, yang agak asing sekitar tahun 1990-an.

Emak hanya sempat bersama saya selama 12 tahun sahaja, tapi banyak perkara yang dapat saya pelajari daripadanya. Pengalaman menjadi caregiver sewaktu masih bersekolah rendah turut mengajar saya menjadi seorang yang berdikari dan tidak bergantung pada orang lain.

Pengalaman tersebut juga mendidik saya menjadi seorang yang prihatin, empati dan kuat semangat. Sememangnya setiap yang kepahitan dan kesukaran yang Allah uji adalah hikmah yang tidak ternilai untuk masa depan.

Naskhah Projek Lavender ini saya dedikasikan untuk arwah Emak, semoga perkongsian yang secebis ini dapat mengubat kerinduan dan memberi kekuatan.

Diharapkan kisah ini bermanfaat bagi semua yang membaca.

Mohon doa semoga Emak, Almarhumah Muzainah bte Zakaria diampunkan dosa, dirahmati dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman oleh Allah. Amin.

Zaila Hafni pernah bertugas sebagai editor dan sekarang menjadi penulis bebas. Beliau salah seorang penulis dalam Projek Lavender.

Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *