Jiwa seorang pejuang, melawan kanser dan mempertahan rumah warisan berusia 200 tahun

Oleh: Raiha Bahaudin

Ini kisah manis sebuah rumah pusaka dan seorang pejuang penyakit kanser. Kelmarin, dalam perjalanan pulang daripada Melaka ke Selayang, Waze memandu kami ke jalan lama kerana ada kemalangan di Alor Gajah.

Melalui jalan Rembau, teringat sekitar tahun 1998, kami pernah membuat tugasan Lukisan Terukur (Measured Drawing) di sini. Lukisan Terukur berobjektif merekodkan ukuran bangunan lama jika berlaku kejadian tidak diingini dan ia akan memudahkan kerja-kerja pemuliharaan.

Tugasan ini adalah kerja berkumpulan apabila kami dikehendaki membuat dokumentasi bangunan lama dalam bentuk lukisan setiap tampak dan laporan sejarah bangunan itu sendiri.

Tugasan dokumentasi ini panjang. Sekitar tiga bulan dan menyebabkan kami akrab dengan orang kampung dan keluarga pemilik bangunan. Antaranya bangunan ini. Rumah lama dengan gaya seni bina Minang ini berusia hampir 200 tahun tinggalan Dato’ Gempa Maharaja. Antara pangkat tertinggi dalam adat Perpatih.

Selepas lebih 15 tahun tidak pergi lagi ke sini, saya kira memang sudah tersurat kami menyusuri jalan lama kelmarin dan melihat pagar rumah ini terbuka luas. Tuan rumahnya, ibu Siti Hindun terkejut melihat kami dan bergurau kasar sambil menunjuk penumbuk.

“Mana kau pergi selama ni tak jenguk aku?”

Gurauan ini disambut dengan pelukan erat mesra. Ibu Hindun bercerita, rumah pusaka ini kini dijaga oleh anaknya Fara Aida Farid, seorang pejuang penyakit kanser selama lebih 8 tahun.

Kak Fara, mendapat amanat daripada gemulah suaminya yang juga mangsa kanser, meninggal dunia pada Mac lepas. Allahyarham suaminya, Red Zainal adalah seorang pengarah dokumentari History Channel yang pernah mengarahkan episod khas Penjara Pudu dan VAT69. Pesan abang Red Zainal, rumah ini harus dipulihkan segera, sebelum relai dan dibangunkan supaya terus hidup.

Kak Fara, sejak pemergian abang Zainal cekal mahu menunaikan impian ini. Semasa kami datang, Kak Fara bersama anak-anak buahnya baru mengecat bahagian dalaman, memanjat bahagian yang sukar walau pun dia sendiri tidak berapa bertenaga kerana baru menjalani kemoterapi.

Perlahan-lahan, bahagian dalaman rumah nampak hidup. Ada sudut khas untuk anak-anak bermain. Ada perpustakaan mini dan sudut bermain gitar. Kata kak Fara, walaupun mempunyai masalah kewangan, perancangan harus berjalan.

Dana harus dicari. Bumbung harus diganti. Beberapa bulan akan datang, rumah ini akan dijadikan rumah tamu AirBnb. Rumah bawah akan dilengkapi ruang tamu berlampu romantik dengan kedai kopi. Tempat yang manis untuk penulis yang mencari sunyi.

Sepatah kata Kak Fara Aida,

“Rumah ini hidup dengan amanah cinta. Dan pasti harus diisi dengan cinta juga.”

Raiha Bahaudin ialah pengasas Kelembai Studio. Beliau menulis novel Kunang Pesisir Morten dan berpengalaman luas dalam bidang produksi. Post asal di pautan ini.

Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *