Kanser dan kematian – Satu anugerah untuk insan terpilih

Oleh: Dr Othman Talib

Ini kisah aku dan bidadariku yang dipanggil Ilahi tanggal 16 September 1997. Ketika itu, aku pelajar pascasiswazah untuk program ijazah sarjana (master). Tujuh bulan sebelum itu, dia seorang yang periang, seorang yang sangat berprinsip dan menyayangi aku melebihi dirinya sendiri.

Suatu hari, dia mengajak aku ke klinik kerana terdapat luka kecil ulser pada lidah. Malamnya, setelah mengenakan tudung labuh dan jubah tanpa mekap, sedang aku selesa dengan jeans, kami ke Klinik Zul di Kajang. Kami tinggalkan dua anak kecil kami Alia, 7 dan Iffah, 5 tahun di rumah. Arif, 1 tahun aku bawa bersama. Dialah buah hati isteriku itu kerana masih menyusu badan.

Selepas 3 hari, ulser isteriku tidak kebah, malah terdapat tanda-tanda ia semakin merebak. Dia tidak lalu makan dan menanggung kesakitan. Kami sekali lagi ke klinik yang sama, lalu diberikan ubat lagi. Aku mula melihat perubahan pada isteriku, dia mula kurang bercakap, sekali sekala menahan kepedihan.

Selepas tidak juga kebah, aku nekad untuk ke PUSRAWI, kebetulan aku ke Kuala Lumpur. Sedikit pelik kerana sebaik sahaja isteriku menunjukkan ulser dilidahnya, doktor tersebut tidak membuat pemeriksaan tetapi terus berkata, “Sila buat pemeriksaan segera di HKL.”

Beliau menyediakan sekeping surat. Rupanya doktor mengesyaki ulser isteriku adalah simptom kanser.

Isteriku kelihatan tenang, kerana kesakitan yang dirasakannya lebih menyiksakan dari berita tersebut. Dia lebih memerlukan rawatan untuk kesakitannya.

Selang beberapa hari, kami ke HKL. Doktor melakukan biopsi untuk diagnosa sel kanser. Mr. Nasir, doktor pakar HKL selepas mendapat keputusan ujian mengesahkan isteriku mengidap kanser tahap akhir 3. Inilah kata-kata Mr Nasir yang akan aku ingat sampai bila-bila.

“Othman, just give her a comfort life.”

Kemudian, aku fahami bahawa isteriku telah tercalon sebagai penghuni syurga.

Esoknya, isteriku dimasukkan ke wad HKL. Doktor mengambil keputusan untuk membuat pembedahan membuang sebahagian lidah isteriku yang mempunyai sel kanser. Namun, isteriku tetap tenang, tidak pun kelihatan gusar. Aku tidak tahu kenapa dia begitu tenang.

Selepas itu beberapa siri biopsi dijalankan, doktor mendapati sel kanser telah berada hampir diseluruh badannya. Mr Nasir memanggil fenomena sel kanser malignan isteriku sebagai “a sleeping monster” yang boleh merebak dengan sangat cepat.

Bermulalah HKL menjadi rumah keduaku. Waktu pagi aku uruskan anak-anak aku, Alia ke sekolah, Iffah ke Taski, dan Arif ke rumah pengasuh. Kemudian aku ke UPM mengajar di Pusat Matrikulasi seperti biasa, kemudian bergegas ke HUKM pukul 12 hingga 2 petang, hampir setiap hari. Malamnya, dalam pukul 10, aku tinggalkan anak-anak aku untuk dijaga oleh Alia, 7 tahun, aku pergi menemui isteriku di HKL. Hanya air mata sahaja menemani ku bila meninggalkan anak-anak.

Oleh kerana isteriku berada di wad perempuan, aku hanya menemani sehingga tengah malam, kemudian aku balik atau tertidur dalam kereta. Waktu pagi aku menyiapkan anak-anak aku. Hujung minggu barulah aku membawa semuanya ke hospital. Aku tidak mahu menunjukkan kesedihan kerana itu pesan isteri malah dia sendiri begitu tenang. Dalam kesakitan, masanya dihabiskan dengan membaca Al-Quran, dan dikunjungi rakan, memohon maaf sambil sekali sekala dia mencoret sesuatu dalam diarinya.

Selepas 7 bulan berlalu, melalui beberapa siri kemoterapi, wajahnya semakin cengkung, langkahnya semakin lemah, matanya semakin kuyu. Dia tidak lagi mesra dengan anak-anak, malah kelihatan menjauhi mereka. Aku kehairanan, namun terima dengan pasrah. Ketika itu HKL sudah membenarkan dia tinggal di rumah, seperti ada sesuatu isyarat untukku. Kedua ibu dan mertuaku pula menemaninya di rumahku.

Suatu pagi, dia minta untuk memakai baju kemejaku. Aku mengiyakan. Tengah hari aku balik seperti biasa, untuk menemuinya. Dia bersandar di tepi katil, masih memakai baju kemejaku. Sekali sekala dia memandang kesyiling.

Aku bertanya, “Idah ingat apa?.. Idah ingat Allah ke?”

Dia tenang menganggukkan kepalanya.

Itulah komunikasi terakhir dengan isteriku buat selama-lamanya.

Malam pemergiannya, jenazah dibawa balik ke Rembau. Malam itu aku tidur disebelah jenazah isteriku buat kali terakhir hingga subuh. Selepas beberapa hari, aku membuka diary, dan terbaca satu tulisan ringkas yang membawa maksud “Abang… Idah tidak mahu melayan anak-anak supaya mereka tidak terasa akan pemergian Idah nanti.”

Bertuahlah dia sebagai calon syurgawi kerana Allah menarik kudratnya secara perlahan-lahan, memberikan kesakitan supaya dia sempat bertaubat dan memohon keampunan, dengan adik berdik dan sahabat handai. Allah memberinya kesakitan supaya hatinya terikat kuat dgn PenciptaNya. Semua ini terpancar pada wajahnya yang sentiasa tenang hingga akhir hayatnya.

Barulah aku sedar… bertuahlah dia… mendapat satu ANUGERAH …. sebagai calon syurgawi.

Posting asal boleh dibaca di pautan ini. Alfatihah buat Allahyarhamah Rafidah.

Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *