Cerita Tentang Kanser

Oleh: Siti Alfatihah Abdullah

Saya bukan pakar perubatan atau seangkatan dengannya. Tetapi saya adalah seorang “survivor” yang melalui pelbagai rawatan dan berkongsi kisah.

Musuh utama sebenarnya bukan sel itu, tetapi adalah perasaan dan naluri. Siapa kita untuk menidakkan takdir, namun kita adalah ciptaan terbaik Maha Pencipta. Kita adalah siapa kita mahu jadi,bukan fantasi tetapi mencari realiti.

Usah menangis menahan keindahan dunia. Menangis lah bila mana kita masih belum temui pintu-pintu syurga.

Kita tiada pilihan apabila terpilih menjadi insan yang “istimewa”. Jadi kenapa kita abaikan keistimewaan itu? Hargailah apa yang kita miliki hari ini. Terima kasih sayang mereka yang tiada sempadan, pasti kita tidak lemas dilambung ombak hasutan bisikan yang hanya menyakitkan.

Kasihan? Pada pandangan saya, ia lebih kepada penjaga pesakit kerana terpaksa melalui kerenah insan yang diuji ini. Semakin kita membiarkan diri hanyut oleh emosi, selagi itulah kita sedang menyeksa perasaan mereka terutama insan tersayang. Kerana mereka mahu kita pulih seperti dahulu tetapi tidak tahu bagaimana mahu meluahkan. Jadi, kasihanilah mereka yang mencuba sehabis baik untuk kita. Pejamkan mata, lihat dengan hati yang tenang. Saya pasti di saat kita bersedia, kita sedang menuju ke hati mereka sebagai insan yang kekal dalam ingatan.

Ingat dan percayalah, hanya diri sendiri mampu mengubah diri menjadi lebih kuat atau tersungkur tanpa semangat. Lalui segalanya dengan tabah, pasti akan ada sinar buat mereka yang reda.

Jika mereka yang sihat memberi nasihat, “Ahhh, mereka tidak rasa apa yang kami rasa, sakit perit melalui hari demi hari.”

Tapi saya sendiri ingin nyatakan di sini. Kemoterapi pertama saya ialah FEC, yang diberikan ketika hamil enam bulan. Saya melahirkan bayi kemo ketika usianya lapan bulan secara normal. Dalam masa yang sama, saya menahan sakit pembengkakan sel di payudara dan kesan kemoterapi. Saya melalui tiga jenis kemo dengan ubat yang berlainan, kitaran rawatan yang berubah, “targeted therapy” 26 kali setiap tiga minggu, melalui pembedahan pembuangan sel dan pembaikan otot serta rawatan yang tidak pernah habis sejak 2016 sehingga kini.

Malah sejak saya menjalani kemoterapi yang selalu dimomokkan dengan ketakutan dan kesengsaraan, saya perlu melalui CT scan setiap tiga bulan yang bagi saya lebih memeritkan. Namun demi melihat “result” dan berdepan kenyataan. Saya harus terus kuat berjuang dan bertahan.

Jika saya mampu bangkit, kenapa anda tidak? Kita sebenarnya sama, mungkin rezeki yang berbeza. Tapi itu bukan alasan, kerana rezeki datang dalam pelbagai cara.

Buka mata, lapangkan jiwa,
Senyum kala duka,tangis kala gembira,
Kelak bahagia milik kita,
Derita cuma sejarah sahaja.

Siti Alfatihah Abdullah ialah seorang pejuang kanser payudara dan menulis dalam buku Projek Lavender 1 & Projek Lavender 2.

Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *