Pantang Ketika Rawatan Kanser

Oleh: Rasyada A.Rahman

Istilah berpantang tidak asing lagi bagi kaum ibu setelah melahirkan anak. Sepanjang berada di wad untuk menjalani rawatan kemoterapi, aku belajar sesuatu ilmu yang baru. Rupanya pesakit kanser juga harus berpantang. Pantang-pantang selalunya terjurus kepada minuman atau makanan. Tapi adalah lebih tepat mendefinisikan pantang kepada perkara-perkara yang perlu dielak sepanjang menjalani rawatan kemoterapi sebagai langkah pencegahan.

Walaupun sesuatu makanan itu baik untuk kesihatan, ianya mungkin boleh memudaratkan kepada pesakit kanser yang sedang menjalani rawatan. Hatta itu makanan kegemaran anda sekalipun, cuba elakkan daripada memakannya. Berita baik yang boleh buat anda tersenyum adalah pantang ketika rawatan kanser hanyalah bersifat sementara. Maka bersabarlah.

Namun, kedegilan akan mengundang penyakit bawaan air dan makanan atau penyakit bawaan udara. Risiko penyakit ini tinggi kerana rawatan kanser akan melemahkan sistem imunisasi badan secara umumnya. Enteng sahaja bakteria atau patogen lain menyerang dan menakluk badan anda. Sudahlah keadaan diri yang lemah dan loya, keracunan makanan atau jangkitan paru-paru hanya memburukkan keadaan dan boleh membawa maut. Maka artikel ini berkongsi beberapa pantang untuk panduan pesakit kanser dan penjaga kerana penyakit-penyakit tersebut boleh dicegah.

“Ini bunga hidup ke Rasyada? Bunga hidup ini memang cantik, tapi lain kali jangan letak di dalam wad. Nanti Dr. Ahlam marah.”

Aku menerima sejambak bunga hidup berwarna-warni kiriman rakan-rakan untuk mewarnai perasaanku. Maklumlah ketika itu, perasaan bercampur baur untuk memulakan rawatan kemoterapi sesi pertama. Terkebil-kebil mendengar nasihat jururawat. Ketika di tanya kenapa, jururawat menjawab disebabkan alahan. Jawapan tersebut aku terima dengan lapang dada. Lantas aku mencari-cari tahu berkenaan perkara tersebut. Kalau tak dapat jawapan nanti, tidak boleh tidur dibuatnya. Rupanya debunga atau spora-spora kulat yang berada pada bungaan segar merupakan agen patogen yang boleh menyerang imunisasi badan yang lemah. Maka bolehlah aku tidur malam itu.

Jambangan bunga tersebut aku beri kepada rakan yang sihat untuk dibawa pulang. Sebelum itu aku abadikan gambarnya di dalam telefon pintar. Di wad ramai lagi pesakit kanser yang sedang menjalani rawatan. Yang penting ingatan dan doa yang tersayang bersemadi di dalam hati. Itu adalah pengetahuan pertama yang aku belajar mengenai pantang.

Sebagai pesakit, aku selalu menerima buah tangan daripada tetamu atau penjaga yang datang. Tidak kurang juga makanan yang di pesan untuk mengisi perut atau mengidam makanan tertentu ketika loya-loya. Bekalan sandwich yang disusun di meja sisi bersebelahan katilku mencuri perhatian Dr. Ahlam, doktor pakar yang merawatku. Lantas dengan nada bergurau dan mata yang membulat, Dr. Ahlam mengingatkan aku supaya tidak memakan makanan yang terdapat mayonis, yogurt atau minuman berunsurkan kultur bakteria. Jangan tidak tahu pembuatan mayonis adalah berasaskan telur mentah yang dipukul sehingga kembang. Pendek kata, makanan mentah atau separa masak adalah menjadi makanan pantang ketika rawatan kanser. Contoh lain adalah telur separa masak, keju dan susu segar yang tidak melalui proses pasteurisasi. Pada waktu itu, aku sengih-sengih sahaja mendengar bebelan ilmiah doktor.

Selesai sahaja sesuatu sesi kemoterapi, elakkan diri pergi ke tempat-tempat yang sesak dan tercemar. Sekiranya ketika sihat anda merasakan tubuh kuat menghadapi sebarang pencemaran udara, yakinlah ianya bukan idea yang baik ketika sedang menjalani rawatan kanser. Contohnya pergi ke pasar malam. Selalulah memakai topeng muka untuk melindungi diri. Bab ini memang sangat rajin jururawat mengingatkan setiap kali discaj hospital.

Itulah antara ilmu pantang yang aku belajar daripada kanser. Semoga bermanfaat untuk semua.

Rasyada A.Rahman menulis pengalaman sebagai pejuang kanser dalam buku Projek Lavender 2: Kanser, Catatan Hati Tentang Reda.

Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *