Kasih Sayang Tiada Nilainya

Oleh: Sufi Noryani Supian

Hari ini, Thanuja (bukan nama sebenar) masuk ke bilik wad adik saya. Thanuja yang menghidap kanser darah (leukemia) terbaring di katil, disorong oleh jururawat dengan barangan peribadinya. Wajahnya bersahaja. Tiada senyum. Badannya kurus kering. Hanya matanya melingas ke sana sini. Tiada juga teman atau keluarga yang mengiringi.

Adik saya tidak suka dengan kehadiran jiran barunya itu. Selalu sahaja mukanya masam apabila Thanuja mendekati. Hairan juga kami apabila adik tidak berapa gemar akan Thanuja. Fikir kami, mungkin emosi adik yang sedang sakit menyebabkan dia berkelakuan begitu. Jadi, kami biarkan sahaja. ‘Nanti-nanti berkawanlah tu,’ fikir kami.

Beberapa hari kemudian, adik mengadu Thanuja sering datang meminta makanan dan minuman. Katanya, dia terliur tengok adik minum minuman probiotik (jenama terkenal di seluruh dunia dan mudah didapati di kedai). Adik tidak suka. Kata adik lagi, baunya busuk pula. Masakan tidak, apabila dia membuang air besar, Thanuja tidak mahu dibersihkan. Jururawat selalu marah-marah dan jadi hilang sabar apabila berhadapan dengan kerenah Thanuja.

Thanuja juga tidak mahu makan ubat. Apabila jururawat datang, ubat yang disediakan di dalam mangkuk kecil di troli sebelah katil, elok sahaja keadaannya seperti mula-mula diisi. Langsung tidak disentuh. Thanuja juga tidak suka mandi. Selalu sahaja jururawat membebel kerana Thanuja tidak mahu membersihkan diri. Sebab itu adik tidak suka Thanuja.

Suatu hari, Thanuja berpesan kepada doktor supaya membelikannya kredit isian semula telefon prabayar dan minuman probiotik, seperti yang selalu dimintanya daripada adik. Siap dihulurkannya lagi sejumlah wang kepada doktor. Maknanya, dia sentiasa ada bekalan wang. Cuma kasih sayang yang kurang.

Saya perasan, ada doktor dan jururawat yang rajin melayannya. Ada juga yang tidak. Saya juga mendapat maklumat, Thanuja sudah lama berada di hospital. Tetapi selama tempoh itu, hanya beberapa kali ahli keluarganya datang menjenguk. Boleh dibilang dengan jari. Datang pun hanya untuk menghulurkan wang dan beberapa barangan peribadi, bukan untuk meneman atau bersembang lama. Kasihan Thanuja…

Kami berpesan kepada adik, janganlah garang sangat dengan Thanuja. Berkawanlah dengan dia. Kasihan dia tiada kawan bersembang. Ahli keluarga pun tiada yang datang menjengah. Mungkin dia jadi begitu kerana kurang kasih sayang. Adik hanya diam. Mungkin berat juga hatinya untuk menerima teguran kami itu.

Semakin lama kesihatan Thanuja semakin memberat. Sebelum itu, Thanuja sering juga berjalan-jalan ke mana-mana, walau dengan napkin pakai buangnya yang meluyut. Thanuja kini hanya terbaring lemah di katil. Kadang-kadang dia panggil juga adik untuk berbual dengannya. Tetapi adik pun adakalanya tidak berapa sedap badan dan ingin bersendiri. Jadi, dibiarkan sahaja Thanuja berbaring.

Tiba harinya, adik saya yang menemani adik menelefon. Katanya, Thanuja tenat. Saya berasa tidak sedap hati juga. Bukan apa, saya kasihan apabila membayangkan adik melihat kematian di hadapan mata. Saya tidak mahu dia juga membayangkan keadaan sebegitu menimpa dirinya. Saya inginkan adik saya kuat dan terus cekal berhadapan dengan penyakit yang dihidapi.

Thanuja akhirnya pergi jua. Ahli keluarganya datang beramai-ramai. Namun begitu, cerita daripada adik saya menyebabkan dada saya berasa sebak. Katanya, ahli keluarga Thanuja berperawakan seperti orang senang. Pakaian mereka pun cantik-cantik. Tetapi malangnya, (berdasarkan pemerhatian adik saya) kehadiran mereka sekadar mengiringi pemergian Thanuja. Bukannya bersedih. Malah, mereka nampaknya bergelak ketawa. Tiada langsung riak duka. Agaknya hilanglah sudah perkara yang menyendat otak mereka. Tidak perlu lagi bersusah payah memikirkan hal anak atau adik-beradik yang sedang menanggung sakit di hospital. Itu tanggapan saya dan adik. Kasihannya Thanuja…

Beberapa hari sebelum adik pergi, dakwanya dia ada bermimpikan Thanuja. Dalam mimpinya, Thanuja yang tersenyum berpesan, “Senang saja, kakak. Tarik nafas kuat-kuat sekali sahaja. Lepas itu sudah okey.” Berdebar juga dada kami dibuatnya dengan cerita adik itu. Kami hanya berdoa yang baik-baik. Hanya Allah SWT penentu segala-galanya.

Sampai waktunya, adik saya pergi juga menyahut panggilan Ilahi. Menurut langkah Thanuja. Adik meninggalkan kami dengan seribu cerita suka dan duka. Dengan kenangan yang pelbagai. Kami sangat sedih akan kehilangannya. Bertahun kami merawat hati. Emak dan abah saya apatah lagi.

Ternyata, situasi keluarga saya dan Thanuja amat berbeza. Air mata duka semasa berhadapan dengan kematian sangat menyakitkan. Namun, gelak ketawa semasa berhadapan dengan situasi yang sama sebenarnya sangat menyakitkan hati. Adik saya pergi dengan membawa seluruh kasih sayang kami. Tetapi Thanuja pergi dengan kelegaan seluruh ahli keluarganya. Hakikat yang sangat menyebalkan.

Sampai kini, apabila terkenang akan Thanuja, saya masih berasa sedih dan kesal akan sikap ahli keluarganya. Mungkin saya terburu-buru membuat tanggapan, tetapi cerita-cerita daripada jururawat membuatkan saya jatuh kasihan terhadap Thanuja. Ujian sakit yang menimpanya tidak mampu dikendong sama oleh ahli keluarganya.

Terima kasih atas pengajaran yang diberikan oleh Thanuja. Semoga Thanuja mendapat kasih sayang yang sewajarnya di sana.

Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *