Menyantuni Sophie di Coventry

Oleh: Wan Erni Suria

Do you want a cup of hot Cocoa?”

Anak berusia tujuh tahun itu, disapa mesra dengan senyuman paling manis.

“Oh yes please. I like the drink you made.”

Allah. Kali ini saya pula yang berbunga-bunga hati dipuji si dia. Lembut tutur diatur, tanda tinggi budi Bahasa.

Saya jatuh kasih.

“Ernie, this is Sophie. And Sophie, this is Ernie. She will stay with you here while waiting.

Teringat kali pertama diperkenalkan. Saya sendiri kurang pasti tahap kesakitan yang dialaminya. Antara polisi utama sebagai sukarelawan di Pusat Sokongan Kanak-Kanak Kanser di tengah bandar Coventry ini adalah, mengelakkan dari bertanya soalan yang sensitif.

Perlunya lebih banyak mendengar, dan memilih respons yang positif dan bersesuaian sahaja.

Malah, kami perlu mempersiapkan diri sedikit sebanyak pengetahuan asas tentang penyakit ini agar memudahkan komunikasi dan merapatkan jurang.

Begitulah.

Jadi, ketika menemankan Sophie dan kanak-kanak lain di Playroom itu saya lebih banyak bermain dan melayan celotehnya; Frozen, Moana, bermain kad dan puzzle, membaca buku bersama mahupun mendengar perihal keluarga dan rakan sekolahnya.

Teringat juga dua lagi sukarelawan wanita berusia lebih 70 tahun.

Pertama kali, kami berkenalan di bengkel kesedaran kanser anjuran Macmillan Cancer Research UK. Tersentak, apabila dikhabarkan dua daripada peserta merupakan bekas pesakit kanser sendiri.

Sepanjang bengkel, mereka berdua tidak segan berkongsi pengalaman. Terutamanya apabila tiba bahagian kaedah rawatan penyakit.

Syukur, mereka antara berpuluh ribu pejuang kanser di UK ini. Paling mengkagumkan adalah mereka kini aktif bertugas sebagai sukarelawan di pusat-pusat sokongan.

Ya, 70 tahun. Setiap hari naik turun bas untuk ke pusat ini. Salah seorang di bahagian kanak-kanak bersama saya. Seorang lagi beraktiviti di bahagian orang dewasa yang terdiri daripada keluarga penjaga pesakit.

“I know the feeling. The pressure, the emotion that came with it. I want to help others with that. At least from my own experience.” Begitu ucap Emma.

Sungguhlah, kebanyakan masanya kita lebih memahami orang lain setelah kita sendiri melalui perjalanan tersebut. Setiap pengalaman pahit getir. Betapa sukarnya ia, serta mendalamnya rasa dan kesan yang ditinggalkan. Orang lain yang memandang mungkin tidak dapat memahaminya seratus peratus.

Jika diibaratkan, anak yang mewah kasih sayang keluarga. Pasti sukar mengetahui apa yang dirasai anak yang tidak langsung pernah merasa belaian kasih sayang tersebut.

Bagaimana rasanya emosi yang cedera. Bagaimana hidup tanpa panduan.

Namun, perbezaan pengalaman ini tidak sesekali menghalang kita dari membantu. Tidak pula kita terus meninggalkan mereka. Terutamanya di saat sukar.

Kita menghulurkan persahabatan dan memberi bimbingan.
Kita menghadiahkan telinga dan bahu tempat bersandar. Kerana kita masih punya emosi dan nilai kasih sayang. Asasnya, keikhlasan yang dihulur. Pasti tidak sia-sia.

Bagaimana, wanita-wanita akhir usia yang pernah dilanda penyakit ini masih kuat dan utuh semangatnya. Bagaimana pula Sophie yang masih perjalanan kehidupannya.

Apatah lagi kita, yang masih muda dan cergas.

Semoga, di dalam apa jua bidang dan di lapangan apa pun kita berada.

Teruskanlah berbakti. Dunia ini perlukan kita.

Subhanallah.

Nota: Wan Erni Suria menulis tentang kerja sukarelawan di Coventry dalam buku Projek Lavender 2.

Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *