Emak dan Limfoma

Oleh: Hizaila Hafni

Limfoma ialah sejenis tumor yang terdapat pada nodus limfa. Nodus limfa merupakan struktur yang berbentuk bujur seperti kapsul, yang terdapat di sepanjang salur limfa. Ia berfungsi sebagai jala untuk memerangkap dan memusnahkan bendasing semasa cecair limfa melalui salur tersebut.

Kanser limfa ini bermula dalam limfosit, iaitu sel yang berfungsi melawan jangkitan. Limfosit terdapat pada nodus limfa, limpa, timus, tulang belakang dan bahagian-bahagian tubuh yang lain. Apabila seseorang itu dikatakan mempunyai limfoma, limfosit tadi berubah fungsi dan berkembang biak tanpa kawalan.

Jenis-jenis Limfoma

Terdapat dua jenis iaitu limfoma non-Hodgkin dan Hodgkin. Apa yang membezakan kedua-dua jenis limfoma ini adalah sel limfosit yang terlibat. Setiap jenis sel limfosit yang dijangkiti berkembang biak pada kadar yang berbeza. Jadi, tindak balas mereka terhadap rawatan juga berbeza.

Emak dan Limfoma

Arwah emak saya merupakan pesakit limfoma non-Hodgkin. Didiagnos sekitar tahun 90-an, pada waktu itu teknologi perubatan tidak semaju sekarang.

Saya yang berusia 11 tahun ketika itu, seingat saya, rawatan yang emak terima ialah kemoterapi. Kurang pasti berapa kitar yang emak sempat lalui. Emak melalui beberapa kali pembedahan kecil juga untuk mengambil sampel kanser di leher dan ketiak.

Tangan kurus emak memang sudah penuh dengan kesan tusukan jarum untuk diambil darah dan memasukkan ubat. Rambut habis gugur, tubuh makin mengecil dan menyusut. Selera makan berkurang, biasanya emak diberi susu tinggi nutrien untuk mengembalikan tenaga.

Emak juga terpaksa bergantung kepada ubat tahan sakit dan ubatan lain yang kosnya agak tinggi juga. Mujur emak seorang penjawat awam, jadi ringan sedikit beban untuk membiayai kos rawatan di hospital kerajaan. Emak menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang dan Pusat Perubatan Universiti Malaya di bawah seliaan doktor pakar.

Pada saat-saat akhir doktor mengkhabarkan emak boleh dibawa pulang ke rumah jika mahu, ayah sudah maklum bahawa umur emak sudah tak panjang.

Emak dibawa pulang dan diberi peluang ‘berehat’ di kampung bersama keluarga di sisi. Hampir 7 hari di rumah, akhirnya emak dijemput Ilahi pada 24 November 1994.

Kami reda dengan pemergian emak dan kami faham emak sudah cukup menderita melawan kesakitan. Allah ambil emak supaya emak dapat berehat panjang dan tenang di sana.

Kini, setelah lebih 20 tahun, perkembangan teknologi rawatan perubatan kanser semakin berkembang maju.

Kaedah Rawatan Bagi Pesakit Limfoma

 Pembedahan

Terhad kepada jenis limfoma non-Hodgkin tahap 1, iaitu organ selain dari kelenjar limfa seperti limfoma perut, tiroid dan limpa (spleen).

Radiasi

Digunakan untuk jenis limfoma tahap 1 atau 2, sekiranya kanser di tahap 3 atau 4, rawatan ini digabungkan bersama kemoterapi.

Juga diberikan sebagai paliatif (rawatan untuk melegakan simptom) kepada pesakit kanser tahap akhir, dan juga sebagai cara untuk menghilangkan kesakitan , contohnya radiasi pada sistem saraf tunjang dan bahagian otak yang terlibat.

Kemoterapi dan imunoterapi

Kemoterapi terdiri daripada beberapa jenis ubat yang membunuh sel-sel yang berkembang biak dengan cepat seperti sel kanser, akan tetapi, sel-sel lain seperti dinding usus, mulut, folikel rambut dan sum sum tulang juga akan turut terjejas.

Imunoterapi adalah cara rawatan dengan memberikan antibodi yang dihasilkan secara klon, bertujuan untuk membantu sistem pertahanan badan untuk melawan antigen yang terdapat pada sel-sel kanser. Rawatan ini biasanya digabungkan dengan kemoterapi.

Pemindahan sum sum tulang (bone marrow transplant)

Rawatan ini melibatkan penggunaan kemoterapi pada dos yang tinggi , bertujuan untuk mengosongkan sum sum tulang , diikuti dengan pemindahan sel stem (sel induk) yang telah diperolehi daripada pesakit sendiri atau daripada penderma lain.

Rawatan ini terhad kepada jenis kanser yang berulang, kanser yang tidak menunjukkan respon yang baik kepada kemoterapi, serta jenis limfoma yang agresif dan mudah berulang.

Rujukan:

  1. What is Lymphoma?
  2. Limfoma

Hifzaila Hafni menulis kisah ibunya yang menghidap kanser dan pengalaman semasa kanak-kanak berdepan dengan ibu yang menjalani rawatan di hospital. Kisah kanser ini dirakamkan dalam buku Projek Lavender: 22 Kisah Pejuang Kanser yang Cekal Melawan.

Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *