Si Gebu dan Comel Itu Pesakit Kanser – Enam Tanda Kucing Kesayangan Mungkin Kena Kanser

Oleh: Arina Amin

Kanser adalah penyakit yang berlaku secara senyap tanpa apa-apa amaran atau petanda yang mudah dikesan. Lebih-lebih lagi bagi haiwan.

Menjadi fitrah haiwan terutamanya kucing, selagi apa-apa penyakit yang menyerang belum sampai ke tahap kronik, selagi mereka masih punya daya dan tenaga, mereka tetap lincah dan cergas seperti biasa. Apabila sampai kepada tahap kritikal atau kronik, itu adalah saat yang keadaan mereka kelihatan mula merosot.

Ada ramai rakan saya yang bertanya, bagaimana saya boleh tahu kucing saya menghidap kanser? Kerana mereka tidak pernah menjangkakan bahawa kucing boleh menghidapi kanser seperti manusia.

Sejujurnya, kucing yang dikesan menghidap kanser kebiasaannya telah mencecah tahap 3 atau tahap 4. Rawatan yang boleh diberikan hanyalah rawatan sokongan bagi membantu mengurangkan kesakitan, mengurangkan stres dan membantu untuk kucing menikmati hidup yang lebih optimum hingga akhir hayatnya.

Sebaiknya, pemeriksaan kesihatan secara berkala bagi kucing kesayangan anda adalah terbaik untuk diamalkan bagi mengesan petanda halus lebih awal. Antara simptom yang anda boleh kesan dari awal adalah penurunan berat walaupun sedikit. Ia adalah lebih serius jika beratnya berterusan susut dalam masa yang singkat.

Terdapat simptom lain juga yang anda boleh pantau bagi mengesan penyakit dengan lebih awal agar rawatan yang lebih baik dapat dijalankan. Antaranya ialah :-

  1. Penyusutan berat badan / kurang selera makan

Kucing yang sihat akan sentiasa berselera untuk makan. Jika anda melihat kucing anda mula tidak menjamah makanan yang biasanya menjadi kegemarannya, itu adalah petanda kesihatannya mula terancam. Atau jika anda melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala, anda boleh kesan ancaman awal terhadap kesihatannya melalui penyusutan berat badan.

  1. Menjauhkan diri / gemar menyembunyikan diri

Menjadi fitrah kucing untuk menyendiri dan bersembunyi di tempat yang tersorok apabila mereka tidak sihat. Simptom ini biasanya serentak berlaku dengan pengurangan selera makan. Ini boleh berlaku tidak semestinya kerana kanser, tetapi bila-bila masa saja apabila kesihatannya mula terganggu. Tindakan pantas anda membawa  ke doktor haiwan dapat membantu menyelamatkan nyawanya.

  1. Kurang aktif / monyok

Atau dengan kata lain, rutin bermain dan rutin melasak mulai kurang atau tidak kelihatan. Kucing anda asyik tidur, tidak ke bekas minuman, tidak ke bekas makanan, tidur lebih lama dari biasa. Ini pernah berlaku kepada ketiga-tiga ekor kucing-kucing saya yang mana dua ekor dari mereka mengalami demam, dan seekor lagi menghidap penyakit buah pinggang yang kronik. Tidak kira apa jenis penyakit, apabila kesihatan mereka mula terganggu, rutin biasa juga pasti akan terganggu.

  1. Perubahan bau mulut / perubahan pada kondisi mulut

Bau dan keadaan mulut kucing juga boleh memberi petanda tentang tahap kesihatannya. Mulut yang lebih berbau boleh memberi indikasi tentang kemerosotan fungsi organ seperti penyakit buah pinggang, usus, leukemia dan juga kanser. Keadaan gusi sama ada lebih pucat atau ada pendarahan atau ada ketulan terbentuk adalah salah satu simptom kepada kanser. Simptom ini sukar dikesan kerana bukan setiap masa kita akan memeriksa mulut kucing kita bukan? Oleh itu, pentingnya anda menghantar kucing anda untuk pemeriksaan kesihatan setiap 3 bulan.

  1. Keadaan najis / perubahan tabiat membuang air

Jika kucing anda mengalami cirit-birit, ia tidak semestinya berkaitan dengan kanser atau penyakit lain. Perubahan diet atau jenis makanan juga boleh menyumbang kepada cirit-cirit. Namun, cirit-birit yang berpanjangan adalah petanda yang patut diberi perhatian dan pemeriksaan. Jika kucing anda kerap ke kotak tandasnya, terdapat darah pada najisnya, sukar membuang air, adalah simptom penyakit serius bakal menyerang kucing anda. Akhir sekali, muntah bulu adalah sesuatu yang normal. Tetapi, jika kucing anda kerap muntah-muntah dalam masa yang singkat, segeralah bawanya ke klinik.

  1. Perubahan keadaan fizikal

Keadaan kulit kucing atau perubahan pada tubuh badannya seperti terdapat ketulan atau benjolan yang luar biasa, hendaklah segera dibawa ke doktor haiwan untuk pemeriksaan. Kerana kemungkinan besar ia adalah kanser atau ketumbuhan yang walau tidak bahaya boleh menuju kepada keadaan yang lebih bahaya jika dibiarkan. Juga jika kucing anda tiba-tiba berubah menjadi marah atau memberi respon negatif ketika anda memegang atau membelainya, segeralah bawa kucing anda ke doktor haiwan kerana kemungkinan ada sesuatu yang membuatnya berasa tidak selesa.

Memelihara kucing sememangnya suatu yang terapeutik bagi manusia. Namun, sebagai pemilik dan tuan kucing, adalah tanggunjawab dan amanah buat kita untuk sentiasa memastikan kesihatan mereka terjaga dan dipantau dengan serius. Ini kerana, kucing sememangnya tidak akan menunjukkan sebarang petanda kecuali apabila  penyakit yang menyerang sudah berada di tahap kritikal dan kronik.

Rajin-rajinlah bertanya kepada doktor haiwan segala soalan yang bermain di fikiran anda. Tindakan dan rawatan awal dapat menyelamatkan kucing anda dan juga menyelamatkan wang anda. Ini kerana, rawatan sokongan di waktu sakit kritikal adalah lebih tinggi perbelanjaannya.

Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada Mummy Daddy si kucing kesayangan sekalian!

Arina Amin ialah penulis buku Projek Lavender yang berkongsi tentang kanser yang dihidapi Pastel, kucing kesayangan keluarga. Arina seorang aktivis kucing dan penulis upahan (ghostwriter).

Please follow and like us:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *