Lebih 2,000 pelari dan pejuang kanser bergabung di IKN untuk World Cancer Fun Run 2019

Oleh: Norleen Mohid

Seawal jam 06:45 pagi, dataran Institut Kanser Negara di Putrajaya mula meriah dibanjiri wajah-wajah penuh bersemangat, begitu teruja untuk memulakan larian. Berlatarkan tona biru gelap, tulisan World Cancer Fun Run Day 2019 yang dicetak dalam gabungan warna oren terang dan putih, begitu menyerlah menghiasi baju T rasmi yang dipakai setiap peserta.

Lebih 2,000 orang mengambil bahagian. Dalam ribuan yang berlari ini, ada yang datang dengan anak-anak kecil, adik beradik, ahli keluarga malahan sahabat-sahabat kepada pejuang kanser, yang sama-sama meluangkan masa untuk acara bermakna. Sebagai tanda sokongan tidak berbelah bahagi kepada pejuang-pejuang kanser di seluruh dunia.

Saya beriringan dengan teman baru, Rasyada yang sentiasa ringan tulang sama-sama menyusun bahan pameran di reruai Dua Penulis. Beliau salah seorang penyumbang kisah untuk Projek Lavender 2, yang juga pejuang kanser Limfoma.

Sewaktu menanti siren isyarat pelepasan dibunyikan, kami sempat memerhati suasana keliling. Seorang jejaka ceria dengan kadbod tergantung di badannya menarik perhatian. Pesakit kanser paru-paru tahap 4. Tanpa kadbod keramat itu, tiada siapa menyangka dia menghidap penyakit yang digeruni ramai.

Bangkitkan semangat diri untuk sihat.

Ubah gaya hidup dan corak pemakanan jika sebelumnya tidak terlalu diambil peduli.

Luangkan lebih masa untuk berkomunikasi denganNya.

Ini antara langkah yang diambil kebanyakan pejuang kanser sebaik sahaja mereka didiagnos positif kanser.

Sungguh pun punya pilihan menjalani bermacam-macam jenis rawatan di hospital, ia bukan jaminan untuk pulih sepenuhnya pada kadar segera seperti yang diharap. Ada 1 lagi ramuan penting yang menjadi pemangkin dalam membantu proses pemulihan dan penyembuhan. Semangat pejuang kanser itu sendiri.

Keyakinan dan suntikan positif untuk terus mengingatkan diri, setiap saat adalah peluang untuk sembuh. Setiap detik ada ruang untuk berbuat perkara yang disukai, mengikut tahap upaya diri.

Menyesali ujian-Nya dan menyalahkan takdir tidak menyumbang sedikit pun ke arah kesembuhan. Sebaliknya, ia boleh mencetus kemurungan lalu menambah sulit keadaan.

Memetik kata seorang pejuang kanser payudara, “Berasa sedih, tertekan dan bingung itu normal. Kita manusia. Ada perasaan, lebih-lebih lagi dengan tahap kesihatan yang kurang stabil. Cuma jangan dilayan berpanjangan. Kesat airmata dan bangkit.”

Memilih untuk mengamalkan corak pemakanan dan gaya hidup lebih sihat juga membantu diri lebih fokus kepada perkara yang membawa kebaikan. Bukan sahaja kepada diri sendiri malahan ahli keluarga dan mereka di sekeliling.

Bersenam secara konsisten. Membuat pemilihan makanan dengan teliti untuk sihat dan bukan lagi ikut selera. Aktif melibatkan diri dalam kerja-kerja sukarelawan. Kesemua ini membuka mata, memberi kesan dan ruang pandang berbeza kepada yang melakukan.

Kanser bukan hukuman ke atas dosa-dosa lampau, sekarang mahupun akan datang. Ia juga bukan petanda Tuhan marah kepada kita.

Ada pejuang kanser berkongsi pengalaman, selepas disahkan menghidap kanser, dia belajar lebih mudah untuk memberi maaf. Padamkan perkara yang menganggu amannya fikiran. Berdamai dengan takdir.

Dia melihat ujjian kesakitannya sebagai peluang untuk meluang lebih masa berkomunikasi dengan Tuhan. Walaupun sewaktu sihat tanggungjawab sebagai seorang hamba tidak diabai, adakala, apa yang dibuat tidak sepenuh hati. Fokus fikiran dan perbuatan tidak selari. Selepas ditimpa sakit, setiap zikir, selawat, bacaan kalimah-kalimah suci dan doa yang dilafaz lebih meresap ke jiwa dan dihayati sepenuhnya.

Apa pula peranan kita kepada pejuang-pejuang kanser?

Sokongan padu berterusan.

Tidak kisah walau dalam bentuk apa sekalipun, baik dari segi kewangan, kata-kata semangat dan mendoakan, mendengar dengan empati. Setiap sokongan yang dihulur amat mereka hargai.

Usaha juang mereka bukan calang-calang setiap detik.

Mereka adiwira dalam ruang lingkup tersendiri.

Norleen Mohid ialah penulis dalam buku Projek Lavender dan Projek Lavender 2. Penulis juga seorang penterjemah dan ghostwriter. Pernah menulis novel remaja dan kini menetap di Lembah Klang.

Please follow and like us:

One Reply to “Lebih 2,000 pelari dan pejuang kanser bergabung di IKN untuk World Cancer Fun Run 2019”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *