Projek Lavender 2

“Saya kagum dengan semangat penulis yang masih berjuang menjalani rawatan. Setiap yang berlaku ada hikmah yang tersembunyi, sama ada bagi diri pesakit sendiri mahupun ahli keluarga dan orang terdekat. Bertakung juga air mata membaca kisah penjaga yang berkongsi detik-detik akhir perjalanan hidup insan tersayang mereka walaupun kini semuanya hanya tinggal kenangan.

Memang tak mudah melupakan, saya juga begitu apabila sesekali memori arwah emak melintas di fikiran. Kiriman doa sebanyaknya buat emak dan para pejuang kanser yang telah pergi dahulu.”Zaila Hafni, Editor Bebas

“Kekuatan buku ini ialah pada kisah-kisah benar yang diceritakan; baik oleh pesakit atau penjaga pesakit. Sebagai pembaca yang sihat, boleh jadi, buku ini bukanlah buku pilihan pertama untuk dibaca.

Namun, setelah membaca kisah pertama, kedua, ketiga dan kisah selanjutnya, ternyata pandangan tersebut meleset dan merugikan. Setiap kisah menjadikan pembaca tidak mahu berhenti daripada terus membaca.

Sebagai seorang yang masih diberi kesihatan yang baik, buku ini umpama hentakan kuat ke lubuk hati untuk saya semakin sensitif dengan anugerah jasad dan jiwa yang diberi pinjam oleh-Nya. Menjaga pemakanan dan memahami psikologi pesakit kanser, adalah antara mesej penting untuk pembaca seperti saya.” Aliff Basri, Aktivis Buku

PENGENALAN

HARI Kanser Sedunia pada 4 Februari setiap tahun mengingatkan kita kepada semua pejuang kanser di seluruh dunia. Hakikat tentang penyakit kritikal ini semakin kerap didengari dan dialami oleh pesakit daripada pelbagai peringkat umur. Kesedaran dalam kalangan masyarakat turut meningkat.

Ramai orang mula membicarakan dan berkongsi kisah mereka secara terbuka. Media sosial yang berkembang pesat pada hari ini memberi ruang kepada pesakit kanser dan penjaga untuk meluah rasa. Kita dapat membaca kisah perjuangan yang penuh cabaran dan memberi inspirasi dalam kehidupan.

Projek Lavender bermula pada tahun 2018 dan merakamkan 22 kisah pejuang kanser yang cekal melawan. Sejak beberapa tahun yang lalu, kisah hidup pesakit kanser sudah ada yang dibukukan. Kemunculan Projek Lavender ini menjadi pemangkin kepada kami untuk menyebarluaskan pengalaman pejuang kanser dan ahli keluarga terdekat mereka. Tujuan kami mahu menjadikan kisah inspirasi mereka sebagai pencetus semangat kepada golongan yang menghadapi cabaran serupa.

Kanser boleh hadir secara tiba-tiba tanpa sebarang simptom yang jelas. Penyakit ini mengubah kehidupan pesakit dan orang di sekeliling mereka. Kanser dapat dikesan kadangkala secara kebetulan apabila pemeriksaan kesihatan dilakukan. Kanser sering kali disalah erti sebagai hukuman. Sedangkan penyakit ini takdir Tuhan supaya insan lebih dekat dengan-Nya.

Buku kedua dalam siri kisah kanser ini dibahagikan kepada tiga, iaitu catatan hati pejuang kanser, penjaga dan perawat dan sukarelawan yang terlibat dengan komuniti kanser. Satu artikel berkaitan kaedah menangani kanser turut disertakan di bahagian akhir buku.

Sembilan penulis berkongsi pengalaman dan detik kritikal apabila mereka terpaksa menjalani rawatan penyakit yang pelbagai seperti kemoterapi dan radioterapi. Mereka juga perlu melakukan banyak ujian seperti ujian darah dan pemeriksaan sumsum tulang.

Catatan ini seolah-olah jurnal atau diari ringkas yang merakamkan secebis kisah perjuangan hidup mereka dalam melawan kanser. Sudah pasti setiap penulis ini menghadapi ujian yang besar. Sekiranya setiap kisah dicatatkan sepenuhnya, pasti penulis dapat menghasilkan sebuah buku yang mempunyai hikmah tersendiri buat para pembaca.

Bahagian kedua mengandungi sembilan catatan hati penjaga dan perawat pesakit kanser. Golongan ini mempunyai peranan yang penting dalam memberi sokongan kepada pesakit. Yang paling utama adalah sokongan daripada segi tenaga dan masa. Malahan ahli keluarga khususnya turut dapat meringankan beban kewangan bagi mereka yang mampu.

Sesungguhnya, bebanan emosi yang ditanggung oleh penjaga pesakit kanser tidak kurang hebatnya. Ramai juga ahli masyarakat kita yang menghadapi cabaran kanser lebih daripada sekali dalam lingkungan keluarga mereka.

Selain ahli keluarga, kisah sahabat dan majikan memberi perspektif berbeza tentang layanan kepada pesakit kanser. Pengalaman perawat yang merupakan pakar dalam bidang obstetrik dan ginekologi juga dinukilkan. Kanser wanita yang memerlukan rawatan rapi dan kompleks menjadi peringatan supaya kita lebih cakna kepada pencegahan dan pemeriksaan awal untuk mengesan kanser.

Dua kisah sukarelawan kanser menunjukkan kehebatan sokongan secara komuniti. Penulis yang juga pejuang kanser mengakui kepuasan tersendiri apabila membantu orang lain. Penulis kedua pula berkongsi pengalaman mengendalikan kanak-kanak pesakit kanser semasa bertugas di Conventry, United Kingdom.

Penyakit ialah ujian. Kenyataan ini biasa diungkapkan. Namun, penyakit kritikal seperti ini memberi pengalaman luar biasa hebat kepada seorang pejuang kanser. Bergelut dengan perasaan, tidak percaya tentang kewujudan kanser dalam tubuh dan tidak tahu tindakan yang perlu dilakukan. Satu proses yang melelahkan. Apabila semuanya menjadi jelas, rasa syukur dan reda menjadi tunggak untuk meneruskan perjuangan mereka.

Catatan hati penulis membuktikan hubungan seorang hamba dan pencipta-Nya yang semakin dekat apabila kita reda dan tidak putus asa dalam menjalani kehidupan ini. Sakit yang diberi barangkali nikmat yang Allah anugerahkan supaya hamba-Nya bersyukur.

Semoga kisah yang dinukilkan ini memberi semangat baru dan inspirasi buat pejuang kanser, penjaga dan masyarakat secara keseluruhan.

Dr Noor Hayati Yasmin Nga Timin
Norsa’adah Ahmad

Senarai kandungan buku:

CATATAN HATI PEJUANG KANSER
Ramadan Sumber Kekuatan, Dr Sabariah Faizah Jamaluddin
Perjuangan Diteruskan, Siti Alfatihah Abdullah
Aku Memilih Sederhana, Fadhilah Idris
Usah Mengalah Sebelum Kalah, Rose Fazlinda Rusli
Aku Menyambut Seruan-Mu, Asaritaminaziah Hisam
Ujian Mengajar Erti Kesabaran, Aisyah Huda
Syukur Atas Peluang Sihat, Siti Zubaidah Sanusi
Berusaha Selagi Daya, Rasyada A. Rahman
Berdamai Dengan Kanser, Anita Aziz
CATATAN HATI PENJAGA & PERAWAT
Isteriku Pejuang Kanser 2, Rosli Diming
Baba Pergi, Izatul Syazreen
Dikya, Sufi Noryani Supian
Dia Yang Dilindungi, Mimi Salleh
Harapan Yang Kosong, Dr Mohd Khamizi Aziz
Awish, Norleen Mohid
Semangat Seorang Mama, Murni Nasri
Balqis, Fazlyn Yusniza Yusof
Kanser Wanita Pada Usia Muda, Dr Nurul Khairiyah Khairuddin
CATATAN HATI SUKARELAWAN
Sumbangan Buat Pesakit Kanser, Rose Fazlinda Rusli
Mengenali Si Kecil Pejuang Kanser, Wan Erni Suria
Menangani Derita Kanser, Noor Jahan Ebrahim
Glosari
Penghargaan

TENTANG PENULIS

Aisyah Huda graduan Sijil Diploma Pemasaran di Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah. Bekas pesakit kanser dan menjadikan hobi menulis ini sebagai satu terapi diri.

Anita Aziz seorang Pensyarah Keusahawanan yang membimbing pelajar dan komuniti dalam Program Pembangunan  Keusahawanan.  Penulis juga aktif membantu dan melatih sahabat di bawah Program Terapi Ehati.

Asaritaminaziah Hisam anak bongsu daripada lapan adik-beradik. Penulis disahkan menghidap kanser semasa dalam pengajian di USM. Pengajian ditangguhkan sementara namun berjaya menamatkannya dengan menerima Ijazah Kelas Pertama pada tahun 2017.

Fadhilah Idris pensyarah di Melaka-Manipal Medical College dan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Bioperubatan dan Ijazah Sarjana Perubatan Molekular.

Fazlyn Yusniza Yusof mempunyai kelulusan Ijazah dalam bidang TESL di UiTM, Shah Alam dan bertugas sebagai seorang pendidik di Kolej Vokasional Kuala Kangsar. Penulis turut terlibat dalam Projek Lavender.

Izatul Syazreen Hj Mohd Ismail bertugas di Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti, Politeknik Merlimau. Sudah menulis lima buah buku antologi termasuk Projek Lavender. Penulis turut menjalankan perniagaan penanaman cendawan.

Mimi Salleh mempunyai lebih 20 tahun berpengalaman dalam bidang penerbitan majalah dan mempunyai tujuh buah buku. Kini aktif mengendalikan bengkel Young Jenin Writer.

Dr Mohd. Khamizi Aziz seorang doktor perubatan di Pusat Kesihatan Universiti UPM. Penulis buku antologi Seharum Kasturi Putih (Aras Mega, 2012), CLEAR (Galeri Ilmu, 2018) dan Mr. Mama (Galeri Ilmu, 2018).

Murni Nasri penolong editor di BERNAMA. Pernah bertugas sebagai pensyarah. Meminati buku, majalah, lagu dan muzik sejak kecil.

Noor Jahan Ebrahim seorang pesara dalam bidang Sumber Manusia dan Pentadbiran. Penulis memulakan karier kedua sebagai  penulis dan penulis upahan. Penulis juga menyumbangkan karya dalam Projek Lavender.

Norleen Mohid pernah berkhidmat sebagai Pegawai Perhubungan Pelanggan di Perodua. Penulis menghasilkan novel remaja, KEMBALI di bawah penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2000. Penulis juga terlibat dalam Projek Lavender.

Dr Nurul Khairiyah Khairuddin seorang doktor pakar Obstetrik dan Ginekologi di KPJ Ampang Puteri. Pernah bertugas di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Doktor menulis buku Ummi Oncall Lagi, Bila Naik 2 Line dan Projek Lavender.

Rasyada A. Rahman seorang pelajar Doktor Falsafah dalam bidang Bioteknologi. Penulis mempunyai kecenderungan minat pada karya selain penulisan saintifik dan baru berjinak dalam dunia penulisan.

Rose Fazlinda Mohd Rusli sukarelawan Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor. Mempunyai keluarga yang positif dan menyokong perjuangan sebagai pejuang kanser. Seorang yang optimistik dan berfokus.

Rosli Diming bertugas sebagai Pembantu Operasi di Jabatan Penilaian Dan Perkhidmatan Harta cawangan Sandakan. Anak bongsu daripada enam orang adik-beradik. Penulis merakamkan kisah isterinya dalam Projek Lavender.

Dr Sabariah Faizah Jamaluddin pernah bertugas sebagai Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Sungai Buloh dan Ketua Perkhidmatan Perubatan Kecemasan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Siti Alfatihah Abdullah berasal Mentakab, Pahang. Ibu kepada tiga orang anak lelaki dan kini mengusahakan Percetakan Bonda. Salah seorang penulis Projek Lavender.

Siti Zubaidah Sanusi suri rumah sepenuh masa. Kini menjalani hidup yang bahagia di samping insan tersayang dan saling menghargai satu sama lain.

Sufi Noryani Supian bertugas sebagai editor di Dewan Bahasa dan Pustaka. Pernah bertugas sebagai wartawan dan editor majalah. Giat menulis cerpen kanak-kanak dan berunsur kekeluargaan. Sering juga berkhidmat sebagai penyunting bebas.

Wan Erni Suria penulis seorang guru tadika yang pernah menetap di England. Penulis aktif mengikuti kursus keibubapaan dan anak-anak.

Baca sampel di sini.

Pesanan buku Projek Lavender boleh dibuat di duapenulis.com.